Sejarah kami bermula di sini...

Followers

Sabtu, 12 Mac 2011

Berita Harian Online | Jepun ranap


Gempa bumi akibatkan gelombang tsunami 10m jejas ekonomi Tokyo

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh.
Agensi berita Kyodo melaporkan, gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.
“Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.
Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.

“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada. – Reuters

Berita Harian Online | Rakyat Malaysia selamat


2011/03/12

  • Foto

    RUMAH, kenderaan dan pelbagai barang musnah dihanyutkan tsunami selepas gempa kuat in Miyagi Jepun, semalam.

  • Foto

    PEKERJA memeriksa keadaan jalan yang merekah akibat gempa kuat di Mito, Ibaraki Jepun, semalam.

  • Foto

    KENDERAAN musnah akibat dihempap runtuhan bangunan bandar Mito, Ibaraki Jepun semalam.

Kedutaan pantau situasi kawasan dilanda gempa, tsunami

PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan sehingga petang semalam pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kematian membabitkan rakyat Malaysia berikutan kejadian tsunami yang melanda Jepun.
Jurucakap Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi di negara itu dan berusaha menghubungi rakyat serta pelajar Malaysia yang berada di kawasan dilanda tsunami.
“Malah, semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka juga dilaporkan selamat.
Pada masa sama, Kedutaan Malaysia di Tokyo juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan di negara itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, Wisma Putra juga sudah membuka bilik Operasi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Bilik Operasi Wisma Putra di talian 03-88874570/03-88874770/03-88892746 dan 03-88892830.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Kaunselor Kedutaan Malaysia, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid di talian +8190 9975 3122 atau e-mel: wayusri@kln.gov.my atau Setiausaha Pertama kedutaan, Rina Hanis Rodzli di talian +8180 3506 7636 atau e-mel rina0377@kln.gov.my.

Semalam, Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami hingga menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa.
 

SALIMANDUT VILLA Blak Magik is Designed by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Blogger Template © 2009