Sejarah kami bermula di sini...

Followers

Isnin, 14 Mac 2011

Berita Harian Online | Kota Marudu banjir buat kali kedua


2011/03/14

BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman  mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
BEBERAPA anggota bomba membantu penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman mereka ditenggelami air di Kota Marudu, semalam.
KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu yang terletak kira-kira 100 kilometer dari sini, buat kali keduanya dilanda banjir dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,869 penduduk daripada 617 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, kelmarin.

Sehingga semalam, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara dibuka termasuk Dewan Tonsom, Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkongan, SK Ranau, Dewan Serbaguna Tandek dan Dewan Marudu Darat berikutan banjir di 25 kampung akibat hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Sandreygo Salleh, berkata penduduk terbabit mula dipindahkan pada Jumaat lalu hingga kelmarin secara berperingkat.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kita sentiasa memantau keadaan banjir di daerah ini. Paras air Sungai Bandau dan Sungai Bongkon juga kembali di tahap normal.

“Setakat ini, kita sentiasa memantau kerana keadaan cuaca tidak menentu sekarang, malah mangsa banjir juga belum dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut melawat kampung yang terbabit dengan banjir, kelmarin.

Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu turut mendengar taklimat banjir oleh Pegawai Daerah Kota Marudu, Luvita Koisun, di bilik pengurusan bencana banjir di Kota Marudu.
Beliau berkata, jawatankuasa pengurusan bencana banjir sedang berusaha memastikan keselamatan penduduk yang terbabit termasuk mengurangkan kerosakan harta benda.

“Kita juga mengalu-alukan bantuan makanan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir dan mereka yang mahu berbuat demikian boleh menghubungi pejabat daerah Kota Marudu,” katanya.

Berita Harian Online | Bantah BERNAS potong 28 peratus


Oleh Norliza Wasilan dan Ramli Hussin
bhkb@bharian.com.my
2011/03/14

Petani dakwa rugi secara purata sehingga RM40 satu peratus pemotongan padi

PASIR PUTEH: Kira-kira 1,000 petani di sini membantah tindakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kerana melakukan pemotongan pembelian padi sehingga 28 peratus bagi setiap tan pada musim ini.
Selain itu, mereka juga mendakwa tindakan BERNAS itu menyebabkan petani turut mengalami kerugian secara purata sehingga RM40 bagi satu peratus pemotongan padi.
Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman, yang mewakili golongan petani menyerahkan Memorandum Bantahan Petani Pasir Puteh Kepada BERNAS dan Kerajaan Malaysia kepada wakil BERNAS iaitu Ketua Zon Wilayah Timurnya, Che Ali Senik.

Kira-kira 300 petani Pasir Puteh menyertai penyerahan memorandum berkenaan di BERNAS Pasir Puteh, dekat Padang Pak Amat bagi menyuarakan bantahan itu mengenai isu pemotongan pembelian padi yang tinggi.

Che Ali berkata, pihaknya akan mengadakan sesi dialog dalam masa terdekat bersama petani bagi memberikan penjelasan mengenai isu yang ditimbulkan itu.

“Bantahan itu akan disampaikan kepada pihak pengurusan tertinggi BERNAS untuk diteliti seterusnya akan diambil tindakan untuk kebaikan semua pihak,” katanya.
Memorandum yang dibacakan oleh Zawawi, antara lain meminta potongan padi perlu dilakukan dengan telus dan timbang rasa dengan jumlah pemotongan maksimum sepatutnya tidak melebihi 20 peratus setiap tan.

Mereka turut menuntut supaya kerajaan tidak mengehadkan insentif penghasilan padi kepada petani hanya setakat 2.5 tan, meskipun mereka mengeluarkan lebih daripada itu.

Selain itu, dua lagi tuntutan dikemukakan meningkatkan insentif BERNAS kepada petani daripada RM250 kepada RM350 setiap tan dan menaikkan harga subsidi daripada RM241.80 kepada RM300 setiap tan.

Petani, Alias Mat Rani, 55, dari Kampung Bukit Peraksi Semerak, mendakwa pada tahun lalu syarikat itu hanya mengenakan potongan tidak melebihi 18 peratus bagi setiap tan, namun keadaan jauh berbeza pada tahun ini.

“Kami agak hairan macam mana potongan tahun ini jauh berbeza sedangkan kualiti padi yang dihasilkan oleh petani hampir sama,” katanya.

Ahad, 13 Mac 2011

Berita Harian Online | Penipu tanpa wajah berleluasa


Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/03/13

HANYA bermodalkan suara sindiket  memerangkap pengguna dedah maklumat sulit.
HANYA bermodalkan suara sindiket memerangkap pengguna dedah maklumat sulit.
Ejen telepemasaran pujuk dedah nombor pin kad kredit cari mangsa

KUALA LUMPUR: Telefon bimbit anda berdering, tetapi tidak terpapar pun nombor pemanggil pada skrin atau jika ada pun nombor - biasanya daripada talian tetap – selalunya tiada jawapan apabila ia dihubungi semula. Jika anda menjawab panggilan, suara di hujung talian memaklumkan anda adalah pelanggan istimewa atau terpilih menerima khidmat atau produk tertentu, diikuti penerangan mengenai khidmat atau produk berkenaan sebelum anda diminta membuat pembayaran menggunakan kad kredit.
Ada juga pemanggil meminta nombor pin atau nombor rahsia (CCV) bagi kad kredit, kononnya untuk mengesahkan persetujuan. Bagi yang tidak berhati-hati, anda mungkin menjadi mangsa sindiket penipuan yang berselindung di sebalik kaedah telepemasaran.

Berita Harian Online | Chong Wei mara ke final All-England


2011/03/13

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke final bagi mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki Kejohanan All-England yang diadakan di Birmingham, England, sebentar tadi.

Beliau menewaskan pemain China, Cheng Long 21-17,21-13 pada separuh akhir dalam masa 46 minit.

Sabtu, 12 Mac 2011

Berita Harian Online | Jepun ranap


Gempa bumi akibatkan gelombang tsunami 10m jejas ekonomi Tokyo

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh.
Agensi berita Kyodo melaporkan, gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.
“Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.
Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.

“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada. – Reuters
 

SALIMANDUT VILLA Blak Magik is Designed by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Blogger Template © 2009